ISU penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sentiasa membawa implikasi besar kepada sesebuah negara, dan persoalan sama kini mula bermain di fikiran penyokong tempatan jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tewas di Mahkamah Timbang Tara (CAS) dan dikenakan penggantungan penuh, adakah Harimau Malaya masih boleh beraksi di kejohanan ASEAN Cup 2026?

Secara prinsipnya, sebarang penggantungan penuh ke atas keahlian FAM oleh FIFA akan menghalang Malaysia daripada menyertai semua kejohanan antarabangsa, termasuk pertandingan di bawah naungan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Walaupun kejohanan seperti ASEAN Cup berada di peringkat serantau, AFF tetap beroperasi di bawah struktur FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ini bermakna, jika penggantungan melibatkan status keahlian FAM sebagai ahli FIFA, skuad kebangsaan bukan sahaja tidak dibenarkan bertanding, malah tidak boleh mengadakan perlawanan antarabangsa, sama ada di laman sendiri atau di luar negara.

Dalam situasi lebih serius, bantuan pembangunan dan dana FIFA juga akan dibekukan.

Sejarah bola sepak antarabangsa menunjukkan bahawa FIFA jarang berkompromi dalam isu integriti, dengan kebanyakan penggantungan membawa kesan menyeluruh kepada seluruh ekosistem bola sepak negara terbabit.

Justeru, kebimbangan penyokong bukan sesuatu yang keterlaluan.

Buat masa ini, segalanya masih bergantung kepada keputusan rasmi CAS serta status hukuman yang dikenakan. Namun satu perkara jelas, sebarang penggantungan penuh bakal menutup terus pintu Harimau Malaya ke pentas antarabangsa, sekali gus memberi tamparan besar kepada momentum skuad kebangsaan.

ASEAN Cup 2026 sepatutnya menjadi pentas menguji kebangkitan Harimau Malaya. Namun kini, bayangan satu kerusi kosong dengan nama “Malaysia” bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Soalnya, adakah kita akan belajar sebelum segalanya terlambat atau sekali lagi hanya tersedar apabila wisel penamat sudah dibunyikan?