SHEVON Lai mengakui ada kekecewaan yang sukar disembunyikan apabila kemenangan seolah-olah sudah berada dalam genggaman namun terlepas di saat akhir selepas beregu campuran negara itu tewas tipis kepada pasangan China di suku akhir Terbuka India 2026.

Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur tersingkir selepas pertarungan sengit tiga set sebelum tunduk 19-21, 21-19, 18-21 kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Shevon berkata, mereka sebenarnya mampu mencuri kemenangan kerana berjaya mengekalkan fokus walaupun sering ketinggalan, namun mengakui kesilapan kecil menjadi pemisah pada penghujung perlawanan.

“Semestinya mengecewakan kerana kami rasa seolah-olah boleh menang tetapi akhirnya kalah, dan kekalahan seperti ini tetap terasa sakit walaupun kami sudah melaluinya bertahun-tahun,” kata Shevon kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurutnya, kekalahan itu tetap menjadi satu proses pembelajaran kerana berdepan pemain terbaik dunia memerlukan ketepatan tinggi dalam setiap aspek permainan.

Soon Huat pula menegaskan mereka perlu memperbaiki kawalan, strategi, rentak dan konsistensi selain memberi perhatian kepada kelajuan bulu tangkis serta penguasaan setiap sudut gelanggang.

“Secara keseluruhan, prestasi kami semakin baik, lebih konsisten dan komunikasi serta kesabaran di gelanggang juga menunjukkan peningkatan,” kata Soon Huat.

Shevon menambah walaupun tersingkir, minggu di India dianggap positif terutama selepas pulih daripada keracunan makanan di Terbuka Malaysia dan ia menjadi bekalan penting menjelang saingan Masters Indonesia dengan fokus utama untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik.