HANYA satu perlawanan tunggal aksi pemanas badan bakal diharungi skuad Harimau Malaya sebelum berdepan perlawanan sebenar Kumpulan E, Piala Asia 2023.

Ia susulan laporan awal sebuah kelab tempatan Qatar yang pada mulanya dijadualkan akan menguji taring anak buah Kim Pan-gon tidak dapat menjadi kenyataan.

Difahamkan, saingan Qatar Stars League telah berhenti rehat selama sebulan lebih untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan negara mereka bermain sebagai status hos edisi ke-18.

Ramai pemain utama pasukan kelab sedang bercuti dan selebihnya yang tinggal adalah pemain simpanan.

Saingan liga negara itu akan kembali bersambung pada 14 Februari 2024, empat hari selepas perlawanan akhir Piala Asia 2023 di Lusail.

Satu perlawanan pemanas badan sudah memadai buat anak buah Kim Pan-gon untuk eksperimen terakhir sebelum aksi sebenar bermula.

Terdahulu, Flash Sukan melaporkan Syria bakal menguji taring anak buah Kim Pan-gon pada 8 Januari namun, perlawanan ini tidak berada dalam kalender Fifa.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.