QATAR menerima tamparan hebat apabila tewas mengejut kepada Jordan dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka sebelum mereka membuka tirai mempertahankan kejuaraan Piala Asia pada 12 Januari di Stadium Lusail.

Perlawanan itu adalah perlawanan persahabatan kedua Qatar yang dimainkan secara tertutup di Doha selepas menewaskan Kemboja 3-0 dengan penyerang Almoez Ali meledak hatrik pada Ahad.

Jurulatih Qatar, Marquez Lopez mengumumkan 26 pemain untuk Piala Asia dengan Khaled Mohamed dan Ismail Mohamed dari Al Duhail menggantikan Osama al-Tairi dan Mohamed Muntari, yang cedera semasa kem latihan berlangsung di Akademi Aspire.

Selepas bertemu Lubnan dalam perlawanan pembukaan Piala Asia, Qatar akan bertemu Tajikistan di Stadium Al Bayt pada 17 Januari, sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka berlangsung pada 22 Januari menentang China di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Dibimbing oleh Hussein Amouta – bekas pakar taktikal kelab Al Sadd, Jordan berada dalam Kumpulan E Piala Asia dengan perlawanan pembukaan mereka dijadualkan menentang Malaysia pada 15 Januari di Stadium Al Janoub.

Mereka juga akan berdepan pasukan kegemaran, Korea Selatan dan Bahrain dalam peringkat kumpulan.

Sebelum memulakan kempen Piala Asia mereka, Jordan juga akan bermain perlawanan persahabatan menentang Jepun pada 9 Januari.

Kemenangan ke atas Qatar itu mengakhiri rentetan tujuh perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan Amouta yang masih belum memperoleh kemenangan sejak mengambil alih musim panas lalu.

Ini menjadi ancaman dan amaran buat skuad Kim Pan-gon selepas kedua-dua pasukan akan bertembung aksi pembukaan di Stadium Al Janoub dalam Kumpulan E.