SESI latihan hati kelima skuad Harimau Malaya di Qatar University turut dipantau Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin yang hadir bersama penolong pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar memerhati setiap persembahan bertenaga disajikan anak buah Kim Pan-gon walaupun hanya dalam latihan.

Kelibat penolong jurulatih negara, E Elavarasan juga serius membantu Kim Pan-gon dalam melancarkan lagi penyusunan taktikal untuk ditetapkan kepada para pemain.

Suasana di padang latihan juga begitu harmoni dan ia menunjukkan Malaysia tidak sabar lagi untuk ‘mengaum’ dan mencatat permulaan baik di awal tahun baharu 2024.

Kesungguhan 26 pemain Malaysia yang terus menjalani latihan sejak tiba di Qatar pada 1 Januari lepas juga seolah-olah mendapat isyarat puas hati daripada Hamidin dari bangku simpanan.

Berlatih di bawah suhu dingin sekitar 18 darjah Celsius, cukup menguji para pemain, tetapi ia adalah perkara biasa dalam permainan bola sepak.

Hamidin memperkatakan sesuatu kepada Natxo Insa.

Selesai sahaja latihan, para pemain bersalaman dan sempat bergurau dengan Presiden FAM itu dan terus bergegas pulang ke hotel penginapan di Doha, Qatar.

Berdasarkan senario semasa Kumpulan E, peluang Harimau Malaya melangkah ke Pusingan 16 dilihat agak terbuka walaupun dianggap pasukan kerdil selepas diundi bersama dua negara Arab, Jordan dan Bahrain yang memiliki ranking lebih baik

Satu lagi adalah bekas pemenang edisi 1956 dan 1960, Korea Selatan yang merupakan lawan paling liat dihadapi Malaysia.