SELEPAS lapan tahun menunggu, skuad Harimau Muda B-23 akhirnya kembali menaiki podium apabila menghadiahkan pingat gangsa bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 hasil kemenangan penuh karakter ke atas Filipina di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Kejayaan itu bukan sekadar penamat kempen bermaruah, malah menjadi simbol kebangkitan selepas episod pahit di separuh akhir.

Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak minit awal, namun disiplin dan ketenangan Malaysia menjadi pemisah.

Usaha Harimau Muda membuahkan hasil apabila Danish Hakimi meledak jaringan pembukaan, sekali gus menyuntik keyakinan pasukan negara.

Filipina bagaimanapun tidak mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36, namun jaringan itu hadir daripada situasi malang apabila Haqimi Azim tertanduk bola ke gawang sendiri.

Kesilapan tersebut tidak mematahkan semangat pemain muda negara, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk bangkit.

Haqimi menebus kekecewaan itu hanya tujuh minit kemudian apabila bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes, untuk kembali meletakkan Malaysia di hadapan sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan Malaysia lebih tersusun, bertahan dengan penuh disiplin dan mematikan kebangkitan lawan sehingga wisel penamat.

Kemenangan 2-1 itu memastikan pingat gangsa milik Malaysia, sekali gus menamatkan penantian sejak kali terakhir meraih pingat (perak) dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2017.