KEJAYAAN cemerlang skuad karate Thailand di Sukan SEA 2025 bertukar menjadi episod duka apabila salah seorang jurulatih kebangsaan mereka, Kanokporn Donsumran, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sejurus tamat tugasan kejohanan tersebut.
Kanokporn, 38, disahkan maut selepas kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori tebu di daerah Wang Saphung, wilayah Loei, awal pagi Khamis. Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang selepas menyempurnakan peranan bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA yang berlangsung di Bangkok.
Setiausaha Agung Persekutuan Karate Thailand, Thaweesuk Chiaochanpreechakul, yang turut berada di dalam kenderaan sama, terselamat namun mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Loei.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan berlaku di laluan yang gelap, dengan lampu belakang lori berkenaan dilaporkan terlindung oleh batang dan daun tebu. Lori tersebut dipercayai berada di lorong memotong ketika perlanggaran berlaku, sekali gus menyukarkan pemandu untuk mengesan kehadirannya lebih awal.
Pihak berkuasa turut mendedahkan pemilik lori terbabit gagal memperbaharui insurans kenderaan sejak tahun 2020, manakala cukai jalan bagi bahagian treler pula tidak dibayar sejak 2023. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap tahap pematuhan keselamatan kenderaan berat yang beroperasi di wilayah berkenaan.
Kanokporn sebelum ini memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad karate Thailand di Sukan SEA 2025 apabila pasukan itu meraih keseluruhan 11 pingat hasil empat emas, lima perak dan dua gangsa. Jumlah itu menyamai pungutan Vietnam, namun Thailand terpaksa berpuas hati di tempat kedua keseluruhan kerana kekurangan dua pingat emas.