Qabil Irfan Azlan segera mencuri perhatian apabila mempamerkan aksi dominan sepanjang ujian rasmi Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 yang berakhir semalam di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba muda negara berusia 14 tahun itu menunjukkan konsistensi tinggi apabila mencatat masa terpantas dalam lapan daripada 11 sesi ujian yang berlangsung sejak kelmarin, selain meraih satu kedudukan kedua dan satu catatan di tempat kelapan.

Walaupun tidak menamatkan sesi terakhir berbentuk perlumbaan simulasi, prestasi Qabil masih dilihat mengatasi dua lagi wakil Malaysia, Qayyim Razin Razali dan Naqib Rifqi Zulhelmi, yang turut mempamerkan peningkatan ketara sepanjang ujian berlangsung.

Qayyim pula menyerlah apabila mencatat dua masa kedua terpantas dalam sesi awal kelmarin sebelum bangkit mencatat masa terpantas pada sesi simulasi pertama semalam, sekali gus menandakan perkembangan positif dalam prestasinya.

Sementara itu, Naqib turut menunjukkan peningkatan apabila mencatat pencapaian terbaiknya dengan berada di kedudukan ketiga terpantas dalam sesi pertama kelmarin.

Bagaimanapun, bagi catatan terpantas keseluruhan, Qabil terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas merekodkan masa 2 minit 16.766 saat, sedikit ketinggalan di belakang pelumba Jepun, Kotaro Togashi, yang mencatat masa terpantas keseluruhan 2:16.698 saat.