EPISOD duka pasukan Piala Uber negara berterusan setelah tewas 1-4 dalam saingan Kumpulan C bertemu Thailand pada Isnin. 

Segalanya seakan tidak menjadi buat perseorangan pertama negara, Goh Jin Wei yang berhempas pulas namun terpaksa akur tewas 21-14, 14-21, 15-21 menentang pemain sensasi Thailand, Ratchanok Intanon. 

Kebangkitan ditunjukkan beregu negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila bekerja keras sebelum menang dalam pertarungan rubber set 16-21, 21-19, 21-17 ke atas Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai. 

Namun, perseorangan kedua negara, Myisha Mohd Khairul gagal menyaingi kehebatan Pornpawee Chochuwong dengan tunduk dengan keputusan 20-22, 10-21.

Pasukan negara seakan hilang arah apabila beregu kedua turut tewas mudah 9-21 14-21 kepada pasangan Thailand, Benyaapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard. 

Tan Zhing Yi melengkapkan malam suram negara apabila tewas 19-21, 6-21 bertemu Busanan Ongbamrungphan.

Pasukan Piala Uber negara bakal melengkapkan perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Mesir pada Selasa di Impact Arena.