PEMAIN skuasy remaja, Hashvind Kugan melihat Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone Kuala Lumpur sebagai satu saingan yang sihat seterusnya membuatkan dirinya lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan yang bermula esok.

Menurut pemain muda berusia 17 itu, persediaan yang telah dilakukan adalah berdasarkan kekuatan mental dan fizikal yang telah dipersiap sebelum waktu perlawanan dan dia berasa lebih lega untuk menghadapi kejohanan Bawah 19 Tahun.

Aura darah muda yang mengalir dalam dirinya membuatkan Hashvind ingin menikmati setiap saingan yang mungkin sengit sejurus menampilkan usaha yang tinggi dalam setiap perlawanan yang akan dimainkan.

“Saya akan bekerja keras dalam pertembungan nanti untuk membuktikan tahap cinta saya terhadap setiap aspek dalam sukan skuasy ini. Mudah-mudahan suatu hari nanti saya dapat menjadikan hobi harian (skuasy) sebagai satu pekerjaan profesional.

“Bermain di Olimpik juga merupakan salah satu impian saya serta semua atlet lain, tetapi saya yakin perjalanan yang masih panjang untuk ke Olimpik LA 2028 ini akan menjadi satu sumber motivasi buat saya.

“Idola saya yang sentiasa saya kagumi, Ali Farag (pemain skuasy Egypt) kerana beliau merupakan salah seorang pemain terhebat sehingga kini. Saya kagum dengan cara beliau bermain serta sikapnya di dalam dan di luar padang,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Tidak mustahil semangat Ali Farag yang akan dibawa oleh pemain muda ini akan mewarnai lagi permainannya dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Tambahan, Hashvind sebelum ini pernah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Dunia Remaja dan Kejohanan Remaja Asia.

Kejohanan Dunia Junior yang telah tamat pada Julai lalu telah memberi pengalaman menyeronokkan buat Hashvind sejurus menjadikan dia sebahagian daripada pasukan Malaysia yang dapat bertemu pemain skuasy dari segenap pelusuk dunia.