LEGENDA bola sepak kebangsaan, Safee Sali, tampil menegur sikap segelintir penyokong Malaysia yang mengkritik keterlaluan penjaga gol, Haziq Nadzli, selepas kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand tempoh hari dalam saingan Piala Mitsubishi Cup 2024.

Kesilapan yang dilakukan Haziq telah menjadi tumpuan utama dan mencetuskan kecaman hebat di media sosial, malah melibatkan komen-komen yang menyentuh sensitiviti keluarganya.

“Betul, apa yang terjadi kepada Haziq tidak sepatutnya berlaku tetapi peminat Malaysia perlu lebih matang dan jauh lebih dewasa dalam menilai sesuatu situasi, terutamanya di zaman media sosial ini.

“Jangan sampai melepasi batas dan menyerang hal yang terlalu sensitif seperti keluarga dan anak-anak,” tegas Safee.

Safee Sali dilantik sebagai Duta e-Football Malaysia melalui kolaborasi bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, peminat seharusnya memberi sokongan positif kepada pemain kerana mereka sudah pun memberikan usaha yang terbaik di atas padang.

“Pemainlah yang akan mencurahkan segala kebolehan mereka di atas padang, di penghujung hari, sokongan dan kata-kata semangat dari semua penyokong ini akan membantu mereka bangkit dan membuktikan kemampuan pasukan,” jelasnya.

Di samping itu, Safee turut mempertahankan Haziq Nadzli, menyatakan bahawa penjaga gol itu memiliki pengalaman yang baik untuk membantu pasukan kebangsaan bangkit lebih kuat.

“Berdasarkan pengalaman, Haziq mempunyai rekod yang baik dan ini adalah peluang untuknya memperbaiki kelemahan.

“Saya percaya usaha dan pengalamannya mampu diterjemahkan untuk memacu perubahan yang lebih baik dalam skuad Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Sebagai tambahan, Safee optimis pasukan kebangsaan mampu mencapai matlamat lebih realistik, termasuk menduduki ranking 100 dunia jika setiap pemain dan pasukan berjaya memanfaatkan pengalaman serta sokongan padu dari semua pihak.

Mengulas mengenai usaha terbaru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diumumkan baru-baru ini, Safee menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif untuk masa depan bola sepak negara.

“Bantuan dan perancangan FAM yang diumumkan semalam adalah satu langkah moving forward ke arah era lebih baik untuk Harimau Malaya.

“Saya yakin Nafuzi memiliki pengalaman yang baik berdasarkan pencapaiannya sebelum ini dan apa yang penting adalah perlu adanya keserasian antara beliau dengan ketua jurulatih.

“Jika ini dapat dicapai, kita pasti akan melihat pembangunan yang baik antara pasukan junior dan senior,” jelas Safee.

Safee Sali berharap sokongan peminat yang lebih matang dan bijak akan menjadi pemangkin semangat buat pasukan Harimau Malaya untuk bangkit dan terus berjuang di pentas antarabangsa.