Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP
“KEAJAIBAN boleh berlaku.”
Itu keyakinan yang dipegang ratu menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi menjelang cabaran di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada prestasinya sendiri berbanding memikirkan kekuatan pencabar lain.
Atlet berusia 44 tahun itu berkata, persiapan kali ini lebih baik berbanding Sukan Asia Hangzhou apabila latihan dimulakan lebih awal bagi membolehkan skuad negara mengejar semula apa yang ketinggalan.
“Alhamdulillah persiapan untuk kali ini lebih baik berbanding Hangzhou. Kita membuat persiapan lebih awal. Jadi, insya-Allah kita cuba kejar semula apa yang kita sudah ketinggalan dan kali ini saya pergi dengan sasaran membantu pasukan,” katanya.
Mengenai sasaran peribadi, Nur Suryani enggan meletakkan tekanan ke atas dirinya, sebaliknya percaya segala-galanya mampu berlaku jika berjaya menampilkan prestasi terbaik.
“Keajaiban boleh berlaku. Jadi, apa yang saya perlu buat adalah fokus kepada persembahan saya dan menikmati pertandingan,” katanya.
Bekas Olimpian negara itu turut menegaskan beliau tidak mahu terlalu memikirkan kemampuan atlet lain, sebaliknya mahu memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi.
“Pada saya, saya tak ambil peduli tentang penembak lain. Apa yang saya perlu fokuskan adalah pada persembahan saya dan saya berikan yang terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai masa depannya, Nur Suryani mengakui belum merancang untuk bersara walaupun perasaan itu sudah mula hadir, namun menegaskan beliau akan terus berbakti selagi khidmatnya masih diperlukan negara.
“Kita cuba tinggalkan bunga, jangan tinggalkan tahi. Selagi kita diperlukan oleh negara, kita akan buktikan yang kita terbaik. Memang ada sedikit perasaan hendak bersara, tetapi belum lagi,” katanya.