KEPUTUSAN memecahkan gandingan utama beregu lelaki negara bukan dibuat secara suka-suka, sebaliknya sebagai usaha mencari kombinasi baharu yang mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata rombakan itu perlu dilakukan kerana corak permainan pasangan sedia ada sudah mula dibaca lawan selepas bergandingan dalam tempoh yang lama.
“Memang ada pemain yang bertanya kenapa perlu pecah gandingan, tetapi saya beritahu kita perlu mencuba.
“Kalau terus dengan pasangan yang sama, negara lain sudah tahu bagaimana gaya permainan kita. Jadi kita perlu cuba sesuatu yang baharu. Kalau tidak cuba, kita tidak akan tahu hasilnya,” katanya.
Herry berkata antara gandingan yang menjadi tumpuan ialah Aaron Chia dan Tee Kai Wun, namun mereka belum dapat beraksi bersama dalam beberapa kejohanan terdekat kerana kekangan mata kelayakan.
“Kita akan mulakan gandingan itu pada siri kejohanan Eropah nanti, bermula di Finland pada Oktober. Ketika ini mata daripada Piala Thomas masih dikira, jadi mereka belum boleh menggunakan mata sebagai pasangan baharu,” katanya.
Menurutnya, pemilihan pasangan bukan berdasarkan faktor ketinggian semata-mata, sebaliknya lebih tertumpu kepada keserasian kemahiran dan gaya permainan bagi membentuk gandingan yang mampu saling melengkapi di gelanggang.