GANDINGAN campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berharap mampu mengekalkan momentum kemenangan apabila turun di pusingan kedua Terbuka Malaysia esok.

Begitupun, cabaran di kejohanan bertaraf Super 1,000 amat berbeza dan kejutan boleh berlaku ke atas mana-mana pasangan termasuk pilihan utama kejohanan.

Justeru, Tang Jie berkata, dia dan Ee Wei perlu berwaspada kerana apa saja kejutan mungkin berlaku kerana status kejohanan iaitu Super 1000 itu membabitkan penyertaan 32 pemain terbaik.

Ini selepas beberapa nama besar tersungkur seawal pusingan pertama, malah daripada 10 wakil negara yang turun beraksi pada hari pertama semalam, hanya tiga berjaya mara ke pusingan kedua.

“Bermain di kejohanan bertaraf Super 1000, memang cabarannya besar. Ia tidak mudah… ada lawan yang bermain dengan baik dan ia di luar kawalan kami.

“Jadi kami perlu fokus kerana kami turun dengan harapan untuk menang,” kata Tang Jie.

Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu beregu yang menewaskan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan kedua.

Sementara itu Ee Wei berkata, dia bersama Tang Jie perlu berwaspada dengan setiap lawan dan perlu bijak memanfaatkan perlu terutama ketika di kedudukan penting.

Semalam pasangan keenam dunia itu memberi khabar gembira buat pemain badminton negara apabila menjadi wakil pertama mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas kecundangnya tujuh wakil negara yang lain.

Untuk rekod, pada Terbuka Malaysia tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, dengan keputusan 24-22, 21-14 dalam masa 42 minit.

Selain Tang Jie-Ee Wei, pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melangkah ke pusingan kedua.