SKUAD hoki wanita lima sebelah menjadi belasahan India pada perlawanan pertama Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman.

Kejohanan yang menjadi aksi Kelayakan Piala Dunia itu menyaksikan Skuad Wanita negara terpaksa akur tewas 2-7 kepada india, pada aksi pembukaan kejohanan.

Dua gol yang diraih oleh pasukan negara pada Jumaat, menerusi jaringan gol padang Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin pada minit ketujuh dan gol “challenge” daripada Nur Zafirah Aziz pada minit ke-11.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5’s Wanita Negara, Nabil Fiqri Mohd Noor menjelaskan kesilapan mengutip kad dalam perlawanan yang memaksa Malaysia bermain dengan tiga pemain, memberi kesan besar menjejaskan momentum permainan.

“India merupakan pasukan pilihan dan pemain telah memberikan tentangan kepada mereka serta kami mempunyai peluang untuk menyaingi mereka, namun momentum permainan hari ini sedikit terganggu apabila kami terpaksa bermain dengan kekurangan pemain ekoran dilayangkan kad.

“Menjelang pertemuan dengan Thailand bagi aksi kedua hari ini, saya berharap pemain akan menggunakan sebaik mungkin setiap peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol selain perlu lebih berhati-hati agar tidak mengutip kad dan kami dapat bermain dengan kekuatan penuh, lima pemain.

Skuad hoki lima sebelah wanita negara hanyba mampu menjaringkan dua gol berdepan India. -Pix AHF

“Semestinya saya berharap kami dapat mencatatkan kemenangan pada aksi kedua agar dapat menaikkan lagi semangat pemain untuk terus memberikan saingan dalam kejohanan,” jelas beliau.

Pada separuh masa pertama, India menjaringkan tiga gol padang menerusi Navjot Kaur pada minti ketiga diikuti gol Dhekale Akshata Abaso, seminit kemudian sebelum minit ke-12, Toppo Dipi Monika memastikan aksi separuh masa pertama ditutup dengan kelebihan 3-2 buat India.

Bersambung separuh masa kedua, India menambah empat lagi gol padang kali ini hasil jaringan Mariana pada minti ke-17 sebelum Toppo Dipi Monika menjaringkan gol kedua peribadi beliau pada minti ke-20.

Dua minit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir, India menjaringkan dua lagi gol berturut-turut pada minit ke-28 menerusi Mahima Choudhary dan penjaring gol pembukaan India, Navjot Kaur menutup perlawanan dengan jaringan pelengkap kemenangan mereka.

Malaysia akan turun bertemu Thailand hari ini, pada jam 6:00 petang waktu Malaysia untuk aksi kedua pusingan Kumpulan Elite.