KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) Edisi ke-11 akan memulakan saingannya hari ini di Stadium Hoki Taman Daya dan pastinya ia merupakan misi kebangkitan buat Malaysia selepas 10 tahun gagal menjuarai kejohanan berprestij ini.

Menariknya SOJC kali ini, terdapat lapan pasukan antarabangsa yang akan bertanding dan tujuh daripadanya sudah layak untuk beraksi dalam Piala Dunia Remaja 2023, Disember nanti.

Jadi jelas bahawa kejohanan ini bukan sahaja penting kerana Malaysia merupakan tuan rumah, tetapi ianya juga penting sebagai bayangan kemampuan pasukan bimbingan jurulatih Muhamad Amin Rahim menjelang saingan Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Untuk SOJC tahun ini, Malaysia yang telah diundi untuk berada dalam Pool B bersama-sama dengan pasukan New Zealand, India dan juga Pakistan akan memberi saingan yang terbaik untuk melayakkan skuad ke peringkat seterusnya dalam Piala Sultan Johor ini.

Perlawanan pertama Malaysia pada 27 Oktober akan menentang skuad New Zealand di mana mereka sedang menduduki tangga ke-13 dalam kedudukan hoki dunia sementara Malaysia mendahului pasukannya dengan berada di tangga kelapan dalam dunia.

Saingan kedua Malaysia pada 28 Oktober pula membabitkan pasukan India iaitu juara SOJC tahun lalu sekali gus merupakan skuad hoki terbaik di rantau Asia apabila menduduki tangga kedua dalam kedudukan hoki dunia.

Seterusnya, Pakistan merupakan pasukan terakhir yang akan bersaing dengan Malaysia sebelum ke pusingan seterusnya dimana Pakistan kini sedang berada di tangga ke-12 iaitu satu kedudukan diatas New Zealand sahaja.

Sudah pasti saingan SOJC musim ini akan memberi tentangan yang sengit daripada kesemua pasukan yang bertanding terutama mereka yang akan beraksi di Piala Dunia Remaja kelak.