SETIDAKNYA skuad hoki remaja kebangsaan dapat memberi ancaman selepas memperoleh satu jaringan dalam aksi menentang India bagi perlawanan kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor.

Bagaimanapun, jaringan pertama berjaya dimiliki oleh Young Tigers seawal minit ke-13 menerusi penalti corner oleh pemain harapan, Shahmie Irfan Suhaimi tidak kekal lama.

India berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-28 menerusi Lalage Aditya Arjun.

Seterusnya, sesi berbalas serangan antara kedua-dua pasukan telah menghangatkan lagi suasana di Stadium Hoki Taman Daya apabila beberapa penalti corner yang diambil oleh Malaysia tidak berjaya membolosi gawang India.

Jaringan kedua terus diledak oleh India menerusi Lakra Amandee pada minit ke-37 suku ketiga perlawanan sekali gus memberikan tekanan buat pasukan Young Tigers pada saat itu.

Detik cemas buat India apabila serangan bertalu-talu dilakukan terhadap penjaga gol gawangnya namun tiada jaringan yang berjaya dilakukan oleh anak didik Muhamad Amin Rahim untuk menyamakan kedudukan.

Dengan berbaki enam minit sebelum tamat perlawanan, India berada kedudukan selesa apabila penalti corner yang diambil oleh Rohit pada minit ke-54 berjaya menembusi penjaga gol Malaysia.

Keputusan penuh 1-3 telah menamatkan pertembungan yang cukup sengit antara Malaysia dan India dengan Young Tigers terpaksa akur dengan kekalahan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor.

Sementara itu, Malaysia akan bertemu dengan Pakistan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B pada 31 Oktober ini.