SELEPAS dua kali tewas, skuad hoki wanita kebangsaan akhirnya meraih mata pertama di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2023 selepas mengikat Korea Selatan 1-1 pada perlawanan ketiga di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh, di India.
Keputusan mengikat pasukan ranking ke-12 dunia itu menyerlahkan kebangkitan anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim selepas memulakan kempen dengan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan, Jepun dan dibelasah tuan rumah 0-5 pada aksi kedua.
“Kita buat pertukaran struktur pasukan terutamanya di bahagian pertahanan dan menukar pemain di posisi berbeza. Pendekatan ini menyukarkan Korea Selatan untuk hasilkan jaringan.
“Alhamdulillah kita berjaya mendapat mata pertama dan ini sebenarnya hasil kerjasama baik daripada barisan kejurulatihan dan juga pemain pada sebelum perlawanan,” kata Nasihin.

Pemain negara meraikan gol penyamaan ketika menentang Korea Selatan dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India. |Foto by AHF / Hockey India
Begitupun, Korea Selatan beroleh empat peluang awal menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, namun digagalkan pertahanan kental negara, yang berjaya mengelak dari dibolosi pada dua suku pertama.
Memasuki minit ke-35, skuad kendalian Han Jin-soo segera perbaiki kelemahan sepanjang babak pertama apabila Seo Suyoung memanfaatkan peluang terhidang menerusi pukulan sudut penalti.

Pemain negara cuba menghalang pemain Korea Selatan dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India. |Foto by AHF / Hockey India
Bagaimanapun, ketika Korea Selatan di ambang kemenangan, Nur Afiqah Syahzani Azhar muncul penyelamat skuad negara selepas menyempunakan pukulan sudut penalti bagi memastikan jaringan penyamaan.
Malam ini, skuad negara akan menentang pasukan ranking ke-10 dunia, China, sebelum melengkapkan saingan awal menentang Thailand pada Khamis.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan wanita negara di ACT pada 2013, ketika beraksi di Kakamigahara, Jepun apabila menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Jepun dan India.