KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran tinggi untuk menyapu bersih enam pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 dalam usaha mengukuhkan dominasi hoki negara di peringkat serantau.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata sasaran itu dibuat berdasarkan potensi yang dimiliki skuad lelaki dan wanita termasuk dalam acara hoki padang, hoki dalam dewan serta hoki lima sebelah.

Menurutnya, keyakinan itu turut disokong dengan perancangan penstrukturan semula yang sedang diperhalusi bagi memastikan semua pasukan berada pada tahap terbaik menjelang temasya berkenaan.

“Saya sudah memberikan jaminan kepada kerajaan dan kementerian bahawa kita mampu meraih kesemua enam pingat emas yang ditawarkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui skuad wanita masih memerlukan perhatian khusus walaupun menunjukkan perkembangan positif dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Kita masih belum berada pada tahap yang kita mahukan, sasaran kita adalah untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok empat terbaik Asia.

“Kita tidak mahu menang dengan keputusan kecil atau penentuan penalti, kita mahu pasukan wanita lebih kuat daripada pencabar lain di rantau ini,” katanya.

Bagi memastikan persiapan lebih rapi, MHC merancang untuk memulakan latihan lebih awal khususnya bagi skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

“Kalau kita tunggu terlalu dekat dengan kejohanan, kita akan berdepan masalah sama seperti sebelum ini. Kita perlukan masa dan pendedahan mencukupi,” jelasnya.

Subahan berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara Malaysia dan mendapat reaksi positif untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat akan datang.