Laporan: Firdaus Johari di Jakarta
SKUAD hoki kebangsaan berjaya layak ke final Piala Asia apabila berjaya menewaskan Jepun 5-0 dalam aksi terakhir peringkat Super Four di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta pada Selasa.
Malaysia memerlukan kemenangan dengan kelebihan dua gol untuk ke final dan dilihat menguasai permainan sejak dari awal permainan dan berjaya mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan saat akhir pada suku pertama dan kedua.
Shello Silverius membuka tirai jaringan hasil gol padang selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Jepun pada suku pertama sebelum Nik Aiman menggandakan kedudukan Malaysia beberapa saat sebelum tamat suku kedua.
Malaysia mengganas pada suku ketiga apabila menambah tiga lagi jaringan menerusi sudut penalti Razie Rahim dan dua gol padang dari Syafiq Hassan dan Ashran Hamsani untuk selesa mendahului 5-0.

Skuad negara mara ke final selepas menewaskan Jepun 5-0. Foto: MHC
Jepun cuba mengasak kubu negara pada suku keempat tetapi barisan pertahanan berjaya bertahan dengan baik untuk memastikan tiket ke final menjadi milik Malaysia.
India atau Korea Selatan akan menjadi lawan Malaysia di final untuk menentukan juara Asia dengan kedua-dua pasukan itu bermain selepas berakhir perlawanan skuad kebangsaan.
Perlawanan akhir dijadualkan pada esok (Rabu) jam 7.30 malam waktu Malaysia.