PASUKAN Harimau Malaya bakal tampil dengan kekuatan lebih tajam apabila khidmat penyerang warisan, Rodrigo Holgado dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin pada September ini.

Perkembangan itu didedahkan wartawan Colombia, Nany Florez, yang mengesahkan penyerang America de Cali, Holgado, sudah menerima panggilan rasmi untuk tugasan bersama skuad negara kendalian Peter Clamovski.

Ia sekali gus menyaksikan kelabnya terpaksa beraksi tanpa penyerang utama itu bagi dua perlawanan liga menentang Atletico Bucaramanga (3 September) dan Deportivo Cali (7 September).

“Rodrigo Holgado telah dipanggil skuad kebangsaan Malaysia untuk dua aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin pada 4 dan 8 September,” katanya di laman X.

Bukan Holgado sahaja, malah pemain tengah Unionistas de Salamanca, Gabriel Palmero turut sah dipanggil oleh skuad kebangsaan selepas kelabnya mengesahkan pelepasan untuk tugasan antarabangsa.