KEPUTUSAN Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memendekkan tempoh untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih awal, perlu dihormati.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sepanjang lapan bulan mengenali dan berkerja bersama Norza, beliau yakin Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu tidak meletakkan kepentingan peribadi.

“Selama lapan bulan engagement saya bersama Tan Sri Norza, dia seorang yang huge on institutional role, nak perbaiki peranan institusi tersebut, tak berkaitan dengan hal peribadi, jawatan atau apa-apa… kita kena hormati keputusan dia,” kata Hannah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mahu semnua pihak hormati keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, meletak jawatan presiden BAM lebih awal.

Malah menteri terbabit turut menegaskan, peletakan jawatan Norza sebagai individu nombor satu di BAM juga tidak akan menjejaskan peranannya sebagai pengerusi bersama program Road to Gold (RTG).

“Tan Sri Norza presiden MOM, dia sebagai co chair RTG menggunakan kapasiti MOM.

“Sebenarnya dia (Norza) ada menghantar rakaman video pengumuman peletakan jawatan lebih awal dalam sidang media, tapi saya belum sempat menontonnya.

“Malah, kami juga belum sempat duduk bersama,” ujar Hannah lagi.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Hannah Yeoh, pengerusi bersama program Road to Gold (RTG).

Berhubung urusan dalam BAM, Hannah menegaskan beliau enggan mengulas kerana, “Ini sukan yang sangat popular, rakyat ada banyak pendapat dan ekspektasi, bukan jawatan yang senang untuk kita lakukan reformasi.

“Malah tidak semua orang mampu menerima reformasi dan paling penting ketika ini, kita beri ruang kepada BAM memikirkan apa reformasi yang mereka mahu lakukan dan saya perlu hormati proses itu.”

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media tergempar berhubung pemecatan Datuk Misbun Sidek. Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden BAM dipendekkan kepada Disember 2023.

Sebelum ini FLASH SUKAN melaporkan Norza membuat kejutan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk sebaik sahaja tahun 2023 berakhir.

Pengumuman mengenainya dibuat pada sidang media tergempar Presiden BAM itu, ketika cuba meleraikan kemelut yang berlaku antara legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek dengan badan induk badminton negara itu.