PEMAIN beregu wanita utama negara, Pearly Tan kini semakin hampir untuk kembali ke gelanggang kompetitif selepas menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan kecederaan belakang yang dialaminya.

Pemain berusia 26 tahun itu meletakkan sasaran untuk beraksi di Kejohanan Masters Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 19 hingga 24 Mei ini.

Menurut Pearly, keadaan fizikalnya semakin baik selepas menjalani tempoh rawatan intensif sejak beberapa minggu lalu dan kini sudah kembali menjalani latihan secara berperingkat.

Beliau mengakui kecederaan di bahagian belakang itu bukan masalah baharu kerana pernah dialami beberapa tahun lalu sehingga menjejaskan aksi di gelanggang.

Disebabkan itu, Pearly memilih untuk lebih berhati-hati dalam proses pemulihan kali ini selepas mendapatkan pandangan doktor dan keluarga sebelum membuat keputusan untuk kembali bertanding.

Kecederaan tersebut turut menyebabkan Pearly terlepas kempen Piala Uber 2026 bersama skuad negara baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemain itu mengakui tetap mengikuti perkembangan pasukan negara sepanjang kejohanan dan berbangga melihat kebangkitan pemain muda Malaysia di pentas antarabangsa.

Pearly turut memuji aksi beberapa gandingan muda negara yang berjaya mencipta kejutan ketika kempen Piala Uber, sekali gus membuktikan Malaysia memiliki pelapis berkualiti dalam acara beregu wanita.

Menurutnya, kemunculan pemain baharu bukan ancaman buat dirinya dan pasangan, M. Thinaah, sebaliknya menjadi motivasi tambahan untuk terus meningkatkan prestasi dan kekal kompetitif di peringkat tertinggi.