“KAMI bangkit sebagai satu pasukan.” Itu luahan jujur penjaga gol negara, Azurin Mazlan selepas membantu Malaysia menundukkan Palestin 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 malam tadi.
Dinobatkan sebagai Woman of the Match, Azurin menjadi watak penting di sebalik kemenangan berharga itu, termasuk menyelamatkan sepakan penalti Palestin pada babak pertama. Namun, menurutnya, permulaan skuad Malayan Tigress bukanlah seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, kami dapat tiga mata pertama. Tapi secara jujur, permulaan kami agak perlahan. Separuh masa pertama kami lambat menyesuaikan diri, kurang kemas,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.
Jelas Azurin, segala berubah selepas rehat apabila barisan kendalian Joel Cornelli tampil lebih tersusun dan berani bermain mengikut perancangan asal mereka.
“Lepas rehat, kami mula bangkit dan main ikut gaya kami sendiri. Alhamdulillah, berjaya juga jaringkan gol kemenangan,” katanya merujuk jaringan tunggal Farahiyah Ridzuan hasil hantaran Nur Adrienna.
Azurin turut merakamkan penghargaan buat rakan sepasukan atas semangat juang yang tidak pernah luntur sepanjang 90 minit perlawanan.
“Semua pemain beri 100%. Tiga mata ini sangat bermakna dan menjadi motivasi untuk aksi seterusnya.”
Malaysia bakal menghadapi cabaran lebih getir apabila bertemu tuan rumah, Tajikistan dalam perlawanan kedua kumpulan pada 2 Julai ini.