SELEPAS sekian lama membawa haluan sendiri, bekas perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , namun kali ini bukan sebagai pemain, sebaliknya menyertai barisan kejurulatihan.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan pelantikan Iskandar, 34, sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan bermula 1 Oktober ini.

“Kita dah runding beberapa minggu dan akhirnya minggu lalu dimuktamadkan. Iskandar akan kembali dari Ireland dan sertai kita semula sebagai jurulatih,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama pemain badminton negara.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz umum BAM sah berjaya sunting Iskandar Zulkarnain Zainuddin dari Ireland.

Sebelum ini, BAM dilapor menawarkan peluang kepada Iskandar untuk menyertai barisan kejurulatihan selepas melihat kredibilitinya membimbing pemain luar negara, termasuk skuad Ireland sejak 2022.

Iskandar sendiri mengesahkan tawaran itu namun ketika itu masih belum mengetahui peranan rasmi yang bakal disandangnya bersama BAM.

Untuk rekod, Iskandar pernah mencipta nama sebagai naib juara Masters Malaysia 2016, sebelum beralih ke bidang kejurulatihan sepenuh masa di Eropah, termasuk menjadi rakan sparring kepada pemain seperti Nguyen Tien Minh.

Kepulangan semula Iskandar ke BAM dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh struktur perseorangan negara yang kini sedang mengalami proses penambahbaikan.