Kredit Gambar: MHC
Pemain tengah The Speedy Tigers, Mohd Fitri Saari, percaya mereka tetap mempunyai peluang untuk mencipta kejutan di pentas FIH Hoki Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium dari 15 hingga 30 Ogos ini.
Semangat arkitek tengah berusia 33 tahun itu juga cukup tinggi untuk membantu Speedy Tigers di Wavre, Belgium selepas namanya tersisih ketika edisi 2023 yang diadakan di Bhubaneswar-Rourkela, India.
“Kita satu kumpulan dengan juara bertahan, Jerman; juara Liga Pro FIH, Belgium dan juara Piala Negara-Negara 2026-26, Perancis, jadi agak sukar sebenarnya tetapi kita akan cuba yang terbaik.
“Kita akan cuba lakukan kejutan ke atas mana-mana pasukan terutamanya Jerman dan Perancis kerana kita tahu tahap mereka di mana, cuma Belgium agak susah.
“Tiada yang mustahil, paling penting kita kena manfaat setiap peluang, perlu lebih klinikal dalam D dan tingkatkan cara membuat keputusan. Kalau kita dapat satu atau tiga mata, ia sudah cukup membanggakan buat kita,” katanya.
Dalam masa sama, Fitri juga mahu menjadikan aksi di Arena Hoki Belfius itu sebagai pentas membuktikan dirinya masih relevan beraksi di pentas tertinggi buat Speedy Tigers.
“Piala Dunia sebelum ini saya tak beraksi, jadi sekarang saya lebih bersemangat untuk bermain dan harap dapat berikan persembahan yang terakhir buat pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Pada edisi 2023, Jerman berjaya menewaskan Belgium 5-4 menerusi penentuan penalti shoot-out setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam perlawanan akhir, manakala Malaysia dan Perancis menamatkan kempen di kedudukan ke-13.
Speedy Tigers akan membuka tirai Piala Dunia Hoki dalam saingan Kumpulan B menentang Jerman pada 15 Ogos diikuti Perancis (17 Ogos) dan Belgium (20 Ogos).