PAKAR penganalisis Piala Dunia, Nadia Nadim mendedahkan kematian mengejut ibunya menyebabkan punca dia bergegas meninggalkan liputan ITV ketika perlawanan secara langsung pada malam Selasa.

Penonton dapat melihat bagaimana bintang bola sepak wanita berusia 34 tahun yang menjadi sebahagian daripada hos rancangan ketika aksi Denmark seri tanpa jaringan dengan Tunisia di awal program, tetapi tidak lagi hadir selepas wisel penamat.

Penganalisis itu mengesahkan hari ini dia terpaksa pergi secara tiba-tiba kerana ibunya, Hadima Nadim, 57, maut dilanggar ‘trak’ ketika dalam perjalanan pulang dari gim.

Laporan media Denmark kemudiannya berkata dia dilanggar dari belakang di bandar Uldum, Denmark dan meninggal dunia serta-merta.

Nadia dan ibunya dengan berani melarikan diri dari Afghanistan ketika dia baru berusia 11 tahun, selepas bersembunyi selama tiga tahun apabila bapa, seorang jeneral tentera dibunuh oleh Taliban.

Dalam penghormatan yang mengharukan hari ini, Nadia menjulang arwah ibunya sebagai ‘pahlawan’ yang memberikan nyawanya ‘dua kali’ – pertama ketika dia melahirkannya, dan kemudian apabila dia mempertaruhkan segala-galanya untuk memberikannya kehidupan yang lebih selamat di Eropah.

ITV mengesahkan Nadia telah meninggalkan studio awal tetapi pada mulanya enggan mengulas lanjut sebelum berita itu tersebar pada petang Rabu. Seorang jurucakap kemudian berkata ‘semua orang’ di penyiar itu menyokong Nadia dan turut terkejut dan terkesan mendengar khabar berita berkenaan.

Selain Nadia, Hadima meninggalkan empat lagi anak perempuan; Giti, Diana, Muskan dan Mujda.

Aksi Nadia semasa bersama pasukan bola sepak wanita Denmark.

Dalam Instagramnya hari ini, Nadia, bekas penyerang Manchester City dan PSG, menulis:

“Pagi Selasa, ibu saya maut dilanggar trak. Dia dalam perjalanan pulang dari gim.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasa. Saya telah kehilangan orang yang paling penting dalam hidup saya dan ia berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka.”