JUARA Terbuka Denmark menarik diri di saat akhir dari Terbuka Perncis, ekoran Soh Wooi Yik mengalami kecederaan paha kanan.

Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Wooi Yik mula mengalami kesakitan di bahagian paha hingga belakang bahagian kanan ketika beraksi di separuh akhir Terbuka Denmark minggu lalu lagi.

“Kita memantau tahap kesakitannya sehingga sebelum pusingan pertama Terbuka Perancis, jika dia kembali cergas teruskan namun kesakitan dialami semakin melarat, mungkin akibat perjalanan dari Denmark ke Paris,” kata Rexy ketika dihubungi.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky setuju dengan keputusan Soh Wooi Yik untuk menarik diri bagi memastikan pemulihannya lebih pantas.

Begitupun, Rexy menganggap keputusan menarik diri itu tepat memandangkan Aaron Chia-Wooi Yik juga perlu melalui tempoh perjalanan yang memenatkan dari Denmark ke Perancis dan ia dilihat baik untuk gandingan itu memperoleh ruang rehat selepas muncul juara di Terbuka Denmark.

“Semalam selepas latihan, Wooi Yik memaklumkan yang dia berasa sakit di paha yang sudah dirasakannya ketika di separuh akhir Terbuka Denmark namun dia paksa sehingga final dan muncul juara.

“Selepas itu, kami melalui satu perjalanan memenatkan (dari Denmark ke Perancis). Pada sesi latihan keesokan harinya, dia masih merasakan kesakitan di paha dan membuat keputusan mungkin tidak dapat bermain.

Prestasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kejuaraan Jelajah Dunia pertama di Terbuka Denmark, minggu lalu.

“Namun saya mengadakan mesyuarat dengan semua dan buat keputusan untuk melihat (kecederaan) sehingga pagi hari ini. Pagi ini, Wooi Yik membuat keputusan untuk tidak bermain kerana bimbang tahap kecederaan bertambah.

“Jadi, kami putuskan untuk menarik diri. Laporan dari pasukan fisioterapi mendapati tahap kecederaannya tidak teruk tetapi kalau dipaksa, mungkin tempoh pemulihannya akan lebih panjang.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya mereka membuat keputusan dan pemain beri keputusan untuk tidak bermain. Ini bagi saya, baik untuk proses pemulihan,” kata Rexy.

Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking ketiga dunia menarik diri dari Terbuka Perancis, sebelum memasuki gelanggang pusingan pertama Terbuka Perancis hari ini, sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin mara ke pusingan seterusnya.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik dijadual menyertai Jepun Masters dari 14 hingga 19 November dan bakal bertemu lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pusingan pertama.