BEREGU wanita nombor 2 negara, Go Pei Kee dan pasangannya Teoh Mei Xing, menganggap tahun ini sebagai peluang terbaik buatnya “unlock” pencapaian bahari iaitu melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025.
Berada di kedudukan ke-12 ranking jelajah dunia ketika ini, peluang untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok Top 8, bukanlah perkara yang mustahil dan rehat panjang sebelum memulakan jelajah Eropah amat penting untuk melakukan persiapan terbaik.
“Bagi saya, saya mahu berusaha sampai habis untuk cuba layak WTF, kalau dapat memang sangat bermakna selepas sekian lama menantikan tahap ini,” katanya ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Sepanjang musim ini, Pei Kee dan Mei Xing mara ke suku akhir di lima kejohanan, dan tahap suku akhir menjadi sasaran mereka untuk setiap kejohanan yang bakal disertai sebelum “dateline” WTF, pada Disember.

Go Pei Kee yakin, dia dan Teoh Mei Xing wajib menggunakan peluang terbaik untuk melayakkan diri ke WTF 2025.
Di sebalik keazamannya itu, Pei Kee tetap mengakui cabaran getir menanti kerana saingan beregu wanita dala. Kelompok Top 20 amat sengit.
“Sasaran saya cuba kekal sekurang-kurangnya mara suku akhir dalam baki kejohanan, kalau boleh tembus separuh akhir dan layak WTF,” tegas Pei Kee yang dijangka beraksi di Terbuka Denmark, Perancis dan Jerman.
Dengan satu slot telah dimiliki pasangan China, Liu Sheng Shi-Tan Ning yang muncul juara dunia, perebutan slot terakhir dijangka membabitkan Pei Kee-Mei Xing dengan dua pasangan Taiwan serta masing-masing satu pasangan Jepun dan China.