DI saat wakil lain bergelut, Leong Jun Hao tampil sebagai penyelamat maruah negara apabila muncul satu-satunya pemain Malaysia yang melepasi pusingan pertama All England, awal pagi tadi.
Pemain ranking ke-26 dunia itu mempamerkan aksi penuh karakter untuk menundukkan pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-17, 13-21, 21-16 dalam pertarungan 81 minit di Arena Birmingham.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Jun Hao yang sebelum ini tersingkir awal di Terbuka India dan Terbuka Jerman, selain menebus kekecewaan penampilan sulungnya di Birmingham tahun lalu yang berakhir di pusingan pertama.
Lebih manis, kejayaan tersebut mengukuhkan rekod pertemuannya kepada 4-3 ke atas Nishimoto, sekali gus membuktikan keupayaannya menewaskan pemain ranking lebih tinggi di pentas berprestij.
Cabaran seterusnya bagaimanapun bukan mudah apabila beliau dijadual bertemu seorang lagi wakil Jepun, Koki Watanabe yang baru sahaja melakar kejutan besar menyingkirkan pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen 21-8, 21-12.
Namun, rekod memihak Jun Hao yang memenangi empat daripada lima pertemuan terdahulu menentang Watanabe, memberikan suntikan keyakinan menjelang aksi pusingan kedua.
Hari pertama kempen Malaysia di Birmingham sebelum itu dikecewakan dengan penyingkiran lima wakil termasuk beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tewas dramatik kepada pasangan Denmark dalam pertarungan tiga set.
Turut terkandas ialah Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta dua lagi beregu campuran negara.