Kredit Gambar: MSN Malaysia
Kontinjen boling padang negara terus menghidupkan harapan memburu dua lagi pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila wakil perseorangan lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple serta gandingan wanita berjaya melangkah ke pentas final.
Izzat mengesahkan tempat ke perlawanan akhir acara Singles lelaki selepas menewaskan wakil Australia, Aaron Wilson menerusi penentuan tie-break 1-0, selepas kedua-dua pemain terikat 1-1 pada penghujung aksi di Scottish Event Campus (SEC).
Momentum cemerlang skuad negara diteruskan oleh pasangan Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang turut meloloskan diri ke final acara Pairs wanita selepas mengatasi tentangan sengit pasangan Ireland Utara, Chloe Wilson dan Shauna O’Neill.
Pertembungan itu turut diheret ke tie-break sebelum pasangan negara memastikan kemenangan 1-0 untuk mengesahkan tiket ke pentas penentuan pingat emas.
Izzat kini dijadual berdepan wakil England, Sam Tolchard dalam aksi final, manakala Aleena dan Syafiqa akan membuat perhitungan dengan satu lagi pasangan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor.
Kejayaan menempatkan dua wakil ke final memberikan peluang terbaik buat Malaysia menambah koleksi pingat emas di Glasgow, sekali gus meneruskan rentak cemerlang kontinjen negara pada temasya kali ini.