PEMAIN tengah kebangsaan, Safiq Rahim menyifatkan kejayaannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma adalah rezeki bersama rakan-rakan sepasukan.

Pemain senior berusia 34 tahun ini gembira kerana diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon untuk berada dalam barisan Harimau Malaya.

Bagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini, dia berharap mana-mana pemain yang diturunkan Pan-gon untuk perlawanan seterusnya dapat melakukan yang terbaik.

“Ini yang dikatakan rezeki, terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang memberi sokongan.

“Saya harap kita akan dapat sokongan daripada semua, sesiapa sahaja yang diturunkan perlu melakukan yang terbaik,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Baginya, kemenangan menewaskan Hong Kong dianggap sebagai motivasi pasukan namun keutamaan pada masa ini lebih tertumpu kepada persiapan pasukan secara keseluruhan.

“Kemenangan adalah motivasi yang bagus buat pasukan, tetapi yang penting adalah persiapan pasukan. Semua pemain dahagakan kejayaan, ini adalah peluang buat pasukan negara mencipta sejarah.

“Peluang ini tidak akan datang buat kali kedua, kita memang mahukan kejayaan untuk layak ke peringkat seterusnya

“Pemain ke-12 (penyokong) adalah amat penting untuk pasukan, maka sokonglah pasukan negara tidak kira di mana anda berada,” kongsinya.