KETUA jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan menyifatkan pencapaian naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 sebagai pengalaman penting buat pemain muda negara.
Menurutnya, skuad yang dibarisi pemain bawah 16 tahun itu tidak diletakkan harapan tinggi pada awal kejohanan, namun berjaya membuktikan kemampuan apabila mara sehingga ke pentas final.
“Sebenarnya, banyak yang tidak mengharapkan ataupun tidak meletakkan harapan tinggi untuk pasukan muda ini sebabkan kita hantar pasukan yang bawah 16 tahun.
“Tapi banyak juga pengajaran dalam tournament kali ini, banyak juga yang positif, ada juga yang negatif. Yang negatif kita akan menambah baikkan, dan yang positif kita akan teruskan,” katanya.
Beliau menegaskan kejohanan tersebut memberi pendedahan besar kepada pemain untuk merasai tahap sebenar saingan antarabangsa.
“Kejohanan ini adalah kejohanan yang amat bermakna kepada pemain-pemain saya kerana menreka mendapat pengalaman bermain dalam peringkat antarabangsa.
“Sekarang pun mereka tahu ada benda yang sukar dan ada yang mudah dalam peringkat antarabangsa,” katanya.
Ini merupakan pencapaian terbaik buat Malaysia B-16 yang berjaya layak ke final pertama dalam tempoh 7 tahun, dengan skuad P.Maniam berjaya menjuarai kejohanan tersebut pada ketika itu.