PENGENDALI Selangor FC berbangga dengan mentaliti yang ditunjukkan para pemainnya selepas memenangi penentuan penalti 5-3 keatas Kuching City FC dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA yang penuh drama dan cukup mendebarkan.

Dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Sabtu, dua gol lewat, lampu limpah terpadam, dua kad merah dan penentuan penalti menjadi ramuan utama satu perlawanan klasik yang di hadapan lebih 10,000 penyokong.

Nidzam menganggap ini adalah permainan yang gila namum dia memuji semangat yang ditunjukkan anak-anak buahnya terutama pemain-pemain muda yang berani mengambil penentuan sepakan penalti.

Nidzam gembira dengan apa yang ditunjukkan para pemainnya dalam aksi dramatik.

“Ini adalah perlawanan yang gila dengan penuh debaran dan drama sepanjang perlawanan. Kesemua pemain telah berikan segalanya kerana kami benar-benar mahukan kemenangan ini untuk berada di separuh akhir.

“Menjelang masa tambahan kedua, saya yakinkan pemain bahawa perlawanan belum habis dan masih ada peluang kerana selagi segalanya dalam kawalan, kita mampu berikan yang terbaik dan pujian harus saya tujukan kepada semua pemain hasil kerja keras mereka.

“Dari perlawanan ini, pemain telah buktikan mereka sudah dewasa dan ini adalah generasi pemain yang mahukan kejayaan,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Nidzam Jamil ucapkan tahniah kepada semua pemain yang menunjukkan sikap tidak mudah kalah

Nidzam juga turut memuji kaptennya, Safuwan Baharudin yang dianggap sebagai penolong jurulatih di dalam padang selain tindakannya yang mengambil sepakan penalti pertama untuk mengurangkan bebanan kepada pemain-pemain muda.

“Saya boleh katakan Safuwan Baharuddin adalah contoh terbaik. Dia ketuai sepakan penalti dan mengambil sepakan pertama untuk mengurangkan tekanan kepada adik-adiknya.

“Jadi saya rasa dengan adanya Safuwan di dalam pasukan seperti adanya seorang pembantu jurulatih di atas padang beliau yang menenangkan pemain dan menguruskan segalanya. Jujur saya katakan, sememangnya dia seorang pemain yang berkelas tinggi,” jelasnya.

Pemain dan penyokong meraikan gol kemenangan Selangor FC

Kemenangan dramatik ini melayakkan Selangor FC ke separuh akhir dan bertemu Terengganu FC dalam usaha layak ke final Piala FA bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim atau Kedah Darul Aman FC pada 20 atau 21 Julai 2024.