SWITZERLAND terpaksa mengangkat beg pakaian mereka dari Euro 2024 selepas tewas kepada England pada suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 (1-1), di Dusseldorf Arena, awal pagi Ahad.
Pada perlawanan itu, Switzerland mendahului menerusi Breel Embolo pada minit ke-75, sebelum Three Lions menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Bukayo Saka pada minit ke-81.
Jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata pasukannya telah berusaha keras untuk menewaskan England, tetapi keputusan berkata sebaliknya. Dia berasa sedih dengan pemainnya.
“Ia menyakitkan. Kami berusaha keras, mencipta banyak peluang. Saya sedih untuk pemain dan negara ini (Switzerland),” kata Murat Yakin, seperti yang dilaporkan oleh laman web rasmi UEFA.
Yakin akur penyingkiran di pentas Euro 2024.
Beliau berkata Granit Xhaka dan rakan-rakannya mempunyai lebih banyak peluang berbanding England dalam perlawanan itu. Yakin berkata Switzerland tidak sepatutnya tersingkir daripada suku akhir Euro 2024.
“England tidak mempunyai banyak peluang dan kami mencipta beberapa peluang kami sendiri,” kata jurulatih berusia 49 tahun itu.
“Kami tidak layak pulang tetapi kami boleh berbangga. England juga tidak layak kalah, tetapi seseorang terpaksa kalah,” tambahnya.

Pemain England, Ezri Konsa (kiri) berebut bola dengan Breel Embolo ketika perlawanan awal pagi tadi. (Sumber foto : Euro 2024)
Ketika penentuan sepakan penalti dalam perlawanan itu, penyepak pertama Switzerland, Manuel Akanji, gagal selepas rembatannya disekat penjaga gol England, Jordan Pickford.
Kekalahan itu juga bermakna Switzerland mempunyai empat daripada lima perlawanan kalah mati Euro terakhir mereka ke penentuan sepakan penalti.
Sebelum mara ke suku akhir, Switzerland membuat kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan Itali pada pusingan 16 Euro 2024 dengan kemenangan 2-0.