GANDINGAN beregu wanita negara Pearly Tan- M Thinaah dapat suntikan semangat menjelang saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, apabila menerima insentif kemenangan 100PLUS bernilai RM50,000 hari ini.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah gandingan nombor satu negara itu yang menjanjikan untuk memberi persembahan lebih baik pada kejohanan-kejohanan akan datang.
“Sudah tentu insentif ini menaikkan lagi semangat kami di Jelajah Dunia Akhir. Kejayaan di Terbuka Perancis sudah berlalu, kami tidak boleh bergantung kepada kejayaan itu, tapi memang kami sudah memulakan fasa baru untuk memburu kejayaan seterusnya,” kata Thinaah.
Katanya, bukan dia dan Pearly sahaja mahukan lebih banyak kejayaan, begitu juga pemain lain dari seluruh dunia.
Justeru katanya, dia dan pasangannya hanya perlu fokus mata ke mata dan perlawanan ke satu perlawanan.
Sementara itu, Pearly berkata, segala perancangan baik dari segi latihan fizikal dan mental, semuanya sudah dilakukan.
“Kami sudah lakukan yang terbaik dalam latihan, cuma kami perlu turun dalam perlawanan dengan keyakinan dan percaya antara satu sama lain,” kata Pearly.
Mereka berdua menerima penyerahan replika cek daripada Pengarah Perniagaan F&N Leong Wai Yin, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Sementara itu, Wai Yin berkata, pihkanya gembira apabila Pearly dan Thinaah yang juga duta 100PLUS mencapai kejayaan dengan merangkul gelaran Terbuka Perancis.
“Kami gembira dengan pencapaian mereka dan nak mereka merangkul lebih banyak gelaran selepas ini. Sebelum ini mereka menang Terbuka Perancis dan pingat emas Sukan Komanwel. Tentunya lebih banyak insentif jika memenangi lebih banyak gelaran,” kata Wai Yin.
Minggu lepas, Pearly dan Thinaah menerima insentif kemenangan daripada Persatuan Badminton Malaysia berjumlah RM37,500.
Pearly-Thinaah bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berlepas ke Bangkok, Thailand, Ahad ini untuk menyertai Kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang akan bermula 7 hingga 11 Disember ini.