PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan perubahan Intensiti dan dinamik perlawanan terutama pada babak kedua merubah corak permainan JDT untuk menewaskan Kelantan Darul Naim FC 4-0 dalam aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Dia turut mengakui taktikal pasukan lawan yang bertahan sepanjang perlawanan menyukarkan pemainnya mencari peluang terutama dalam kotak penalti namun perubahan yang dilakukan berjaya membuahkan hasil.
“Perlawanan sangat sukar tetapi pemain tunjukkan aksi yang sangat baik. Menentang lawan yang bermain dengan kompak menyukarkan kami untuk mencari ruang serta mencipta peluang hingga sukar untuk jaringkan gol.

Hector Bidoglio gembira perubahan taktikal bawa kemenangan pada JDT
“Kami menukar pemain pada babak kedua untuk tambah kualiti dengan meningkatkan intensiti dan dinamik permainan dengan kemasukan Arif, Francisco dan Romel yang menunjukkan keberkesanan apabila pergerakan bola menjadi lebih lancar.
“Saya tidak suka bercakap tentang tahap peratusan, tetapi dapat dilihat, pasukan semakin bertambah baik dan pemain berlari hingga minit terakhir meskipun cuaca panas dan kami akan pastikan kami bermain lebih baik dalam setiap perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Hector juga mengakui dia dan barisan kejurulatihannya mengalami masalah untuk membentuk kesebelasan utama kerana kesemua pemain yang berada dalam skuad mempunyai kualiti yang sama dan baik.

Romel Morales membuka akaun jaringannya bersama JDT
“Saya dan barisan kejurulatihan mengalami masalah untuk membentuk kesebelasan utama kerana kesemua pemain kami mempunyai kualiti yang baik tetapi saya percaya dengan semua pemain yang diturunkan,” jelasnya.
Gol-gol dari Fernando Forestieri, Romel Morales, Francisco Geraldes dan penalti minit akhir Arif Aiman memastikan kemenangan Harimau Selatan dan melangkah ke peringkat suku akhir untuk bertemu Malaysian University.