SUARA-SUARA tidak sedap mula kedengaran di kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila dikhabarkan dua pasukan Liga Super sudah terpalit dengan masalah pembayaran gaji para pemain sekali gus menjejaskan prestasi pasukan.
Pelbagai teka teki mula bermain dan penyokong seakan-akan sudah dapat membaca pasukan mana yang dimaksudkan apabila kedua-duanya tersingkir dari saingan Piala FA pada Jumaat.
Sumber dalaman dari dua pasukan ini menghubungi FLASH SUKAN dan mengesahkan sememangnya ada berlaku tunggakan gaji kepada setiap pemain dengan tidak ada tarikh jelas mengenai bila masalah ini akan menemui jalan keluar.

Antara ‘hint’ yang diberikan oleh pemain berkaitan isu gaji.
Para pemain sudah mula melakukan ‘hint‘ dengan memuatnaik hantaran menyindir di laman sosial peribadi yang menekan pihak pengurusan untuk menuntuk hak dan memastikan kebajikan mereka sebagai pemain dibela.
Ditanya mengapa para pemain masih tetap beraksi bermatian-matian walaupun tidak mendapat gaji, sumber itu menjelaskan ini kerana mereka adalah pemain profesional dan mahu menarik perhatian kelab lain yang mungkin ingin mendapatkan khidmat mereka.
Mengikut statut pertandingan, pemain yang tidak menerima gaji selama dua bulan berturut-turut boleh mengaktifkan klausa perlepasan dan boleh mula berbincang dengan kelab lain.

Sri Pahang tersingkir dari saingan Piala FA kepada Penang FC.
Perkara ini pernah dilakukan Daniel Ting yang mengaktifkan klausa ini dengan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tidak mendapat gaji selama dua bulan berturut-turut dari Kuala Lumpur City FC ketika itu.
Buat kelab-kelab yang bermasalah, sampai bila anda ingin menguji para pemain yang jelas sudah menjalankan tugas mereka dengan turun setiap sesi latihan dan bermain sepenuh hati sepanjang 90 minit permainan.
Teguran juga perlu diberikan kepada pihak pengelola liga yang dilihat seakan memberikan muka kepada kelab-kelab bermasalah ini sekali gus mencemar imej dan nilai komersil Liga Malaysia.

KL City juga turut tersingkir dari saingan Piala FA.
Tidak boleh dibayangkan bermain tanpa gaji selama empat bulan, bagaimana nasib keluarga dan juga komitmen bulanan yang perlu dijelaskan jika tidak mendapat bayaran mengikut tarikh yang dijanjikan pengurusan.
Pilihan kini di tangan pemain. Sama ada mahu bersuara atau terus diam atau gunakan pihak berwajib seperti media untuk melaporkan masalah yang melanda anda. Kami tidak mahu pemain menipu penyokong yang hadir ke stadium dengan aksi longlai di dalam padang.