PASUKAN Iran tampil berkeyakinan tinggi menjelang aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 menentang Malaysia malam ini, walaupun sedar kelebihan memihak kepada tuan rumah yang akan mendapat sokongan penyokong sendiri di Stadium KLFA, Cheras.

Ketua jurulatih, Niloufar Ardalan, menegaskan pasukannya telah melakukan persiapan rapi dengan latihan intensif serta perancangan taktikal khusus bagi setiap perlawanan.

“Kami sudah berusaha keras dan ada rancangan istimewa untuk setiap perlawanan. Malaysia adalah tuan rumah, itu satu kelebihan buat mereka, tetapi kami akan cuba bermain dengan baik,” katanya pada sidang media semalam.

Kapten pasukan, Nazanin Zahra Mansouri, turut menghormati kekuatan skuad Malayan Tigress B-20 namun menegaskan Iran akan turun dengan semangat juang tinggi.

“Kami menghormati semua pasukan, tetapi kami adalah Iran dan kami akan berusaha mendapatkan keputusan terbaik dalam kelayakan ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai tekanan bermain di hadapan ribuan penyokong Malaysia, Ardalan mengakui ia cabaran besar tetapi percaya ia juga boleh menjadi motivasi.

“Bermain di stadium tuan rumah adalah sukar, tetapi kami akan cuba guna situasi itu untuk beraksi dengan lebih baik,” tegasnya.

Perlawanan Malaysia menentang Iran dijadualkan berlangsung pada jam 8.45 malam ini, dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan penting untuk mengukuhkan peluang ke pusingan akhir.