PEMAIN sayap lincah Sabah FC, Saddil Ramdhani sanggup berkorban untuk tidak pulang ke kampung halaman dan teruja menyambut lebaran bersama rakan-rakan sepasukannya Sabah FC.

Biarpun sudah lama tidak bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri, Saddil mengorbankan kerinduan itu memandangan tempoh cuti yang singkat ketika mengharungi tempoh  jadual Liga Super yang padat.

“Bagi lebaran tahun ini, jurulatih untuk memberikan cuti beberapa hari dan saya hanya mengikuti jadual yang sudah ditetapkan oleh Sabah FC biarpun ada keinginan untuk  menyambutnya bersama dengan mama dan adik kakak saya di rumah.

“Namun saya juga faham jika perkara itu tidak dapat dilakukan dan saya hanya berhari raya di Kota Kinabalu bersama keluarga rakan-rakan dan ini sudah sangat bersyukur dan bahagia buat saya.

“Memang lebaran sangat bahagia bersama keluarga kerana sudah lama tidak bersama mereka tetapi untuk kepentingan bersama demi Sabah FC, InshaAllah semuanya akan baik-baik sahaja,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jadual yang padat dengan perlawanan menentang Selangor FC pada 27 April serta panggilan menyertai skuad Garuda Muda ke Sukan Sea Kemboja pada Mei menyebabkan Saddil terpaksa menyambut Aidilfitri di Sabah.

Perlawanan menentang Selangor FC adalah antara aksi penting buat Sabah FC kerana kemenangan akan memastikan mereka merapatkan jurang dalam carta liga dan juga dapat mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di Stadium Likas.