TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sah dilantik sebagai Presiden ke-13 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Pelantikan beliau diumumkan secara rasmi selepas menerima sokongan sebulat suara daripada semua ahli majlis, sekali gus menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan selepas hampir sedekad menerajui BAM.

Tengku Zafrul menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar dan berjanji akan memikul amanah tersebut dengan penuh dedikasi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk V Subramaniam serta Norza atas sumbangan mereka dalam pembangunan badminton negara.

Sebagai langkah awal, beliau memohon diberikan tempoh 100 hari untuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain, jurulatih dan pegawai bagi meneliti setiap isu sebelum membentangkan pelan tindakan strategik.

Tengku Zafrul turut menyeru semua pihak agar terus memberi sokongan terhadap kepimpinan baharu BAM demi membawa badminton Malaysia ke tahap lebih tinggi di peringkat antarabangsa.