MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) membuka lembaran baharu dalam landskap sukan negara apabila mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan berprofil tinggi yang bakal menentukan masa depan atlet ke temasya antarabangsa.

Jawatankuasa berkaliber ini dipengerusikan sendiri oleh Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang tidak asing lagi dalam kepimpinan sukan bertaraf dunia.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terus merencana agenda memperkasa MOM dan sukan negara.

Barisan ahli jawatankuasa turut disertai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Vellapandian Ponnusamy bagi melengkapkan gabungan ilmu, data dan prestasi.

Lebih menggemparkan, dua tokoh bebas yang cukup disegani turut dibawa masuk Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff.

Kehadiran tokoh kehakiman dan akademik itu bukan sahaja menambah wibawa, malah menjadi simbol komitmen MOM terhadap ketelusan dan integriti tanpa kompromi.

Penubuhan jawatankuasa ini dilihat sebagai benteng utama mengelak pertikaian pemilihan atlet selain memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberi mandat menggalas cabaran negara.