KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keunggulan mereka apabila bangkit menundukkan Sri Pahang 2-1 dalam final Piala Malaysia 2024/2025 yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam, namun aksi berprestij itu turut dicemari dengan keputusan-keputusan kontroversi oleh pengadil yang mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

Walaupun tampil sebagai pilihan utama, Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan apabila pemain sayap lincah Sri Pahang, T. Saravanan menyambar peluang dalam keadaan kelam-kabut untuk memberikan gol pendahuluan seawal minit ke-15.

Tekanan berterusan menyaksikan JDT hampir bangkit apabila Bergson menjaringkan gol pada minit ke-26, namun jaringan itu dibatalkan pengadil gara-gara ofsaid, keputusan yang dipertikaikan ramai pemerhati dan penyokong di stadium.

Rentetan insiden terus menambah ketegangan apabila Sergio Aguero dari Sri Pahang dilayangkan kad merah pada minit ke-35 kerana kekasaran ke atas Bergson. Walaupun insiden itu jelas keras, ramai merasakan keputusan tersebut agak berat sebelah memandangkan beberapa insiden lain seakan diabaikan oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri.

Separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan buat Sri Pahang, namun babak kedua menyaksikan JDT dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Bergson pada minit ke-54 — satu lagi keputusan yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Sri Pahang.

Ironinya, hanya tiga minit kemudian, Park Jun-heong dari JDT dilayangkan kad kuning kedua selepas membentes Baqiudin Shamsuddin, sekali lagi dalam situasi yang mencetuskan perdebatan apabila ramai merasakan tindakan tersebut tidak sekeras layangan kad.

Dalam suasana yang tegang itu, Arif Aiman muncul sebagai penyelamat JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73, menewaskan penjaga gol Zarif Irfan untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Larkin.

Namun, kemenangan JDT kali ini tetap sedikit tercalar dengan prestasi pengadilan yang dianggap mengecewakan, dengan ramai penonton di stadium dan peminat di media sosial meluahkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan yang dilihat banyak membuat keputusan meragukan sepanjang perlawanan.

Walaupun dilanda kontroversi, kejuaraan ini tetap menjadi kejuaraan kelima buat JDT dalam sejarah Piala Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai raja bola sepak tanah air.

Sebagai rekod, Razlan Joffri pernah dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahun lalu apabila direhatkan daripada mengadili perlawanan Liga Super antara JDT dan Perak selepas prestasi pengadilannya turut menjadi perhatian.

PIX:JST