BUKAN biasa-biasa! Nama Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria kini tercatat megah dalam lembaran sukan dunia setelah secara rasmi dilantik sebagai Ahli Majlis, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025 hingga 2029!
Pelantikan itu diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BWF di Xiamen, China, sekali gus mengukuhkan cengkaman Malaysia di pentas tertinggi sukan badminton antarabangsa — berkat ketokohan Norza yang kian digeruni.
Berbekalkan rekod cemerlang mengemudi BAM sejak 2017, termasuk melahirkan juara dunia dan menaikkan program akar umbi seperti Liga Junior AirAsia-BAM, Norza membuktikan beliau bukan sekadar ‘pemain tempatan’, tetapi pemain dunia kelas satu.
Malah, Norza turut gah di pentas Olimpik selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kini Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi rantau Asia Tenggara.
Beliau juga Presiden Kehormat Badminton Asia, menjadikan ‘kuku harimau’ Norza semakin panjang dalam dunia sukan antarabangsa.
Kini dengan pelantikan sebagai Ahli Majlis BWF, Norza bersedia menggegar dunia, mengukir dasar baru yang bakal mengubah landskap badminton global, sambil membawa semangat Harimau Malaya ke pentas antarabangsa.