JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya melebarkan rekod tanpa kalah di tempat lawan kepada 46 perlawanan meskipun mencatat keputusan seri keempat dalam Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan.

PJ City FC berjaya menidakkan kemenangan JDT apabila terikat 2-2 dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya namun JDT tetap semakin menghampiri kejayaan liga buat kali kesembilan berturut-turut.

JDT terpaksa menerima hakikat gagal memungut mata penuh selepas ditekan hebat PJ City yang bertahan dengan baik dengan sesekali melakukan serangan balas yang menghasilkan jaringan.

 

Bergson Da Silva meletakkan JDT di hadapan pada awal babak kedua apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan PJ City yang cuba menghalang hantaran lintang Matt Davies.

PJ City melakukan kejutan apabila menyamakan kedudukan menerusi penyerang kebangsaan, Darren Lok yang menyebabkan JDT terpaksa melakukan beberapa pertukaran untuk mencari gol kemenangan.

Strategi itu nampak berkesan apabila pemain gantian, Akhyar Rashid berjaya meletakkan JDT dihadapan empat minit sebelum tamat yang seakan-akan memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan.

Namun segalanya berubah pada masa kecederaan apabila Kogileswaran Raj menyamakan kedudukan untuk memberi kejutan kepada juara bertahan sekaligus menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan buat PJ City keatas Johor Darul Ta’zim.

Dengan keputusan ini JDT kekal di puncak dengan 43 mata manakala PJ City juga kekal di tangga kesepuluh dengan 18 mata.