JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan dominasi mereka dalam Liga Super apabila memecah rekod demi rekod yang ada dan mencipta rekod yang sukar dicabar oleh mana-mana pasukan selepas ini.
Selepas memecah rekod kejuaraan liga paling banyak dengan sembilan musim berturut-turut dan dilihat semakin menghampiri rekod sedekad kejuaraan, JDT akhirnya berjaya memecah rekod yang sudah bertahan selama 14 tahun.
JDT kini memegang rekod jaringan terbanyak semusim dalam Liga Super apabila kini sudah menjaringkan 67 gol mengatasi rekod 64 jaringan yang dilakukan oleh pasukan Selangor FA pada musim 2009.
Perkara ini dikongsi menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut memuat naik hantaran di insta story peribadinya dengan menyatakan JDT adalah ‘record breakers’.
“67 gol yang dijaringkan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim setakat ini pada musim 2023 merupakan rekod baharu Liga Super Malaysia. Rekod sebelum ini adalah 64 gol oleh pasukan Persatuan Bolasepak Selangor pada musim 2009,” tulis kenyataan itu.
Apa yang menarik, rekod itu dipecahkan hanya pada separuh musim apabila Harimau Selatan hanya memerlukan 17 perlawanan berbanding rekod lama yang memerlukan 26 perlawanan dan musim 2023 masih berbaki 11 perlawanan.

Insta story TMJ
Dengan purata 3.9 gol setiap perlawanan tidak mustahil JDT mampu menjaringkan 100 gol pada satu musim Liga Malaysia ditambah gol-gol dalam pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, JDT juga sedang memegang rekod kemenangan terpanjang dalam semua pertandingan dengan 29 kemenangan sejak Oktober 2022 dan juga 57 perlawanan tanpa kalah di laman lawan sejak Mac 2018.
Harimau Selatan juga tidak bergantung pada seorang pemain sahaja untuk menjaringkan gol apabila 15 pemain mereka sudah menjaringkan gol dengan Fernando Forestieri di hadapan dengan 17 gol dari 17 perlawanan liga.
Inilah bukti dominasi penuh JDT dalam Liga Malaysia. Segala kerja keras dengan membawa ideologi bola sepak menyerang yang memukau telah membawa mereka ke tahap yang sukar dihampiri mana-mana pasukan.