PASUKAN Johor Darul Ta’zim FC terus mengukuhkan dominasi dalam bola sepak tempatan apabila menyamai rekod dunia bagi jumlah perlawanan liga tanpa kalah selepas menutup kempen Liga Super 2025/2026 dengan kemenangan besar ke atas Kelantan The Real Warrior.
Harimau Selatan menampilkan aksi luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim apabila membelasah lawan 14-1 dalam perlawanan terakhir musim ini.
Penyerang berbisa JDT, Bergson muncul watak utama kemenangan apabila meledak enam gol, manakala Manuel Hidalgo turut mencuri tumpuan menerusi hatrik yang dihasilkannya.
Lima lagi jaringan pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Antonio Glauder, Stuart Wilkin, Yago Cesar, Syamer Kutty Abba dan Teto Martin bagi melengkapkan malam gemilang buat skuad kendalian Xisco Munoz itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT kini merekodkan 108 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah sekali gus menyamai pencapaian kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang melakar rekod sama antara tahun 1989 hingga 1994.
Rekod berkenaan dianggap antara pencapaian paling luar biasa dalam sejarah bola sepak liga dunia memandangkan ia dicapai dalam tempoh lima tahun tanpa mengalami sebarang kekalahan.
JDT kini berpeluang mencipta sejarah baharu musim depan sekiranya berjaya mengelakkan kekalahan dalam aksi pembukaan Liga Super yang turut melibatkan perebutan Piala Sumbangsih.
Untuk rekod, kekalahan terakhir Harimau Selatan dalam saingan liga domestik berlaku pada 24 April 2021 apabila tewas 0-1 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.
Sejak itu, JDT terus mendominasi Liga Super dengan deretan kemenangan dan keputusan seri yang mengukuhkan status mereka sebagai kuasa utama bola sepak Malaysia.