PEMAIN beregu lelaki badminton Malaysia dianggap memiliki sikap yang baik dan tidak jauh berbeza dengan pemain kebangsaan Indonesia.
Itulah antara tanggapan pertama ketua jurulatih beregu lelaki, Akademi Badminton Malaysia (BAM), Herry Iman Pierngadi terhadap pemain negara, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi (Khamis).
“Sebenarnya saya sudah bertemu sebahagian pemain beregu lelaki Malaysia, yang ke Jakarta untuk menyertai Kejohanan Masters Indonesia… kami sudah bertemu, bersembang dan makan bersama.
“Sebelum itu juga sering bertemu (pada kejohanan-kejohanan antarabangsa),” kata Herry, yang diiringi isteri dan anak-anaknya.

Legenda badminton Indonesia, Herry Iman Pierngadi tiba di KLIA malam Khamis.
Ketika menyertai Kejohanan Masters Indonesia, empat beregu lelaki negara yang mengambil bahagian dijemput makan malam di rumah legenda yang terkenal dengan panggilan jurulatih Naga Api, 21 Januari lalu.
Dengan raut wajah teruja tiba di KLIA, Herry menegaskan beliau tidak gentar untuk bertugas di luar buat kali pertama.
Menurutnya, China pernah melamarnya malah ketika Malaysia membuat lamaran, India serta pasukan kebangsaan dan kelab Thailand turut memancing khidmat beliau.
Pada 11 Januari lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan nama Herry dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki baharu, bagi mengisi kekosongan yang ditinggal Tan Bin Shen, yang menerima tawaran di Hong Kong.
Selaku ketua jurulatih beregu lelaki, Herry akan dibantu seorang lagi jurulatih dari Indonesia, Muhammad Miftakh.
Skuad beregu lelaki negara ketika ini terdiri daripada Aaron China, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Choong Hon Jian, Muhammad Haikal Nazri, Wan Arif Wan Junaidi, Yap Roy King, Goh Boon Zhe, Wong Vin Sean, Fazriq Razif, Bryan Jeremy Goonting, Aaron Tai dan Kang Khai Xing.