PENGARUH luar biasa Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam membangunkan bola sepak negara mendapat pengiktirafan tinggi apabila kelab itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024.
Anugerah disampaikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kepada Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang hadir mewakili kelab Harimau Selatan.
Kejayaan JDT mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC Elite serta menamatkan saingan di tempat ketiga Zon Asia Timur membuktikan mereka terus menjadi penanda aras bola sepak profesional negara.
Pencapaian itu juga melengkapkan usaha konsisten JDT dalam aspek pembangunan akar umbi, fasiliti berkelas dunia dan pengurusan kelab yang tersusun serta moden.
Malah, ini kali kedua JDT menerima anugerah berprestij itu selepas pengiktirafan sebagai kelab pertama dari Malaysia dan Asia Timur menjuarai Piala AFC 2015.
Turut memeriahkan majlis ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan JDT sebagai model kelab profesional yang wajar dicontohi di peringkat nasional.
Dengan slogan keramat ‘Luaskan Kuasamu Johor’, Harimau Selatan terus membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar impian, tetapi satu misi yang ditunaikan dengan penuh disiplin.