PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, terpaksa akur dengan kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan A BWF World Tour Finals Hangzhou 2024 selepas tewas 13-21, 21-17, 21-18 kepada beregu handal Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Walaupun mendahului dengan gaya meyakinkan di set pertama, momentum permainan mereka gagal dikekalkan sehingga akhir perlawanan.

Menurut Pearly dan Thinaah, mereka bermula dengan strategi yang tepat dan fokus yang tinggi di set pertama, tetapi permainan mula berubah apabila lawan memberikan tekanan hebat di set kedua.

“Kami bermula dengan baik dan mempunyai kelebihan, tetapi tidak dapat mengekalkan momentum. Lawan berjaya memanfaatkan peluang tersebut dan memberi tekanan kepada kami,” kata mereka.

Set ketiga pula menyaksikan perubahan drastik apabila permainan menjadi lebih perlahan, mengakibatkan banyak pertukaran mata menerusi rally panjang.

Shuttle menjadi sedikit perlahan, dan mereka lebih baik dalam mengawal situasi itu. Kami masih perlu memperbaiki aspek ini untuk menghadapi perlawanan akan datang,” ujar mereka lagi.

Walaupun bermula dengan kekalahan, Pearly-Thinaah kekal optimis dan menjadikan perlawanan ini sebagai pengalaman berharga untuk memperbaiki prestasi mereka.

Esok, pasangan negara ini bakal menghadapi cabaran baharu menentang beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand.